Font Size

Profile

Layout

Direction

Menu Style

Cpanel

KOLOKIUM MEMPERKASA PENYELIDIKAN DAN INOVASI

KOLOKIUM MEMPERKASA PENYELIDIKAN DAN INOVASI

FOKUS PEMADANAN KLUSTER PENYELIDIKAN

 

Kolokium Memperkasa Penyelidikan dan Inovasi yang diadakan pada 5 Mei 2012 di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII) telah berjaya mencapai objektif utama yang ditetapkan iaitu ke arah mewujudkan medium perbincangan dan perkongsian ilmu untuk memperkasa penyelidikan dan inovasi di UTHM serta mensasarkan usaha untuk mewujudkan pemadanan kluster penyelidikan khasnya melibatkan para penyelidik muda dengan Pusat-Pusat Kecemerlangan dan Pusat-Pusat Penyelidikan UTHM.

 

Majlis perasmian kolokium ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Wahid bin Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) selaku wakil rasmi YBhg. Dato’ Naib Canselor UTHM. Beliau juga telah dijemput menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Hala Tuju Penyelidikan dan Inovasi UTHM’. Dalam ucapannya, beliau menyeru semua warga penyelidik UTHM untuk bersama-sama berganding bahu meningkatkan kecemerlangan penyelidikan dan inovasi melalui usaha mewujudkan pemadanan kluster penyelidikan, berusaha meningkatkan perolehan geran penyelidikan swasta dan antarabangsa, berusaha mempergiatkan aktiviti pengkomersilan dan sebagainya.

 

Selain itu, kolokium ini juga telah berjaya mewujudkan platform perkongsian ilmu antara para penyelidik dan panel penceramah jemputan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Antara penceramah yang diundang ialah YBhg. Prof. Dr. Ruzairi Hj. Abdul Rahim, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau telah berkongsi pengalaman dengan para peserta melalui ceramah yang disampaikan  bertajuk ‘Universiti Penyelidikan: Pengalaman dan Strategi’.

 

Pada kolokium kali ini juga, forum berkaitan pengkomersilan telah diadakan dengan mengenengahkan isu berkaitan “Pengkomersilan Hasil Penyelidikan IPTA: Isu & Cabaran”. Forum ini telah melibatkan beberapa panel jemputan iaitu Prof. Ir. Dr. Saparudin bin Ariffin (Dekan Pusat Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan),         Dr. Maimunah bt Mohd Said (Malay Chamber of Commerce Malaysia, Negeri Johor), En. Norazman Hussein (Senior Vice President MTDC) dan Prof. Dr. Maizam bt Alias (Dekan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan). Dalam forum tersebut itu juga, Prof Dr. Maizam telah berkongsi maklumat mengenai usaha-usaha pengkomersilan oleh institusi penyelidikan di United Kingdom hasil lawatan beliau ke Negara berkenaan awal tahun ini. Institusi yang dilawati iaitu, Wolfson Centre di Universiti Brunel, Tun Abdul Razak Research Centre, Nanoscience Centre dan Institute of Manufacturing di Universiti Cambridge rata-ratanya mempunyai kerjasama universiti-industri yang rapat dalam menjayakan usaha pengkomersilan mereka.

 

Selain itu, perlaksanaan program pemadanan kluster penyelidikan antara penyelidik dan Pusat-Pusat Kecemerlangan serta Pusat-Pusat Penyelidikan UTHM juga telah diadakan. Staf-staf akademik yang balik cuti belajar telah mengambil peluang pada sesi ini untuk berkongsi maklumat berkaitan kepakaran mereka dan juga peluang melaksanakan kolaborasi penyelidikan peringkat antarabangsa khasnya melibatkan institusi pengajian tinggi di tempat mereka belajar sebelum ini.

 

Program ini juga turut memfokuskan usaha-usaha untuk meningkatkan pengkomersilan hasil penyelidikan dan inovasi universiti. Sejumlah 20 produk yang mewakili UTHM dalam ITEX 2012 pada 17-19 Mei ini telah dibentangkan kepada wakil industri yang terdiri daripada Malay Chamber of Commerce Malaysia Negeri Johor, untuk dinilai dan seterusnya mendapatkan maklumbalas industri ke arah mewujudkan peluang dan kerjasama pengkomersilan.

 

Semoga program seumpama ini akan dapat dianjurkan pada masa-masa akan datang bagi membantu memperkasa dan meningkatkan kecemerlangan UTHM dalam penyelidikan dan inovasi. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan program ini.

 

 

Disediakan oleh,

Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi,

Pengkomersilan dan Perundingan

Last Updated on Monday, 25 June 2012 12:38

About Us

Office for Research, Innovation, Commercialization,
Consultancy Management (ORICC) 
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
86400 Parit Raja, Batu Pahat
Johor, Malaysia

Tel: +607-453 8397/8398/8498/8401
Fax: +607-453 8399
Email : oricc@uthm.edu.my

 

You are here: